Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Selasa, 24 Mei 2011

Peperiksaan Vs Menanda

Assalamualaikum..dan salam harmonis,
          Awal bismillah pembuka bicara..hari ini rasa teringin saya menyentuh tentang topik peperiksaan.  Maklumlah minggu akhir sebelum cuti ini adalah minggu demam peperiksaan.  Apabila berbicara tentang peperiksaan rasa pening kepala melihat gelagat para pelajar hari ini yang lebih mementingkan tidur daripada menjawab soalan.  Rata-rata kelas manapun, baharu sahaja menjawab dah nak tidur.  Ada segelintir pelajar pula, membaca soalan pertama je dah menguap...masyaallah.  Apa dah jadi?.  Para pelajar kini tidak menghiraukan sangat tentang kepentingan peperiksaan.  Bagi mereka lulus atau gagal sama sahaja.  Tidak ada rasa malu kepada mereka apabila mendapat keputusan yang rendah atau gagal.  Lulus atau gagal mereka tetap boleh naik kelas dan meneruskan pembelajaran.  Hal ini berbeza dengan para pelajar dahulu, memang takut sekiranya gagal kerana malu.  Yang paling takut, untuk ditunjukkan kepada ibu bapa.  Memang akan kena marah kalau gagal.  Berbeza dengan pelajar hari ini yang terlalu dimanjakan oleh ibu bapa.  Di manakah silapnya? Tepuk dada tanya selera.
          Selepas peperiksaan,  para pelajar akan bercuti.  Begitu juga cikgu-cikgu juga akan bercuti.  Ramai tanggapan orang bahawa kerja cikgulah yang mudah kerana banyak cuti. Pelajar cuti, cikgu cuti. Ya, memang betul apabila pelajar cuti, guru turut bercuti.  Satu perkara yang ramai orang tak tahu bahawa apabila guru bercuti sebenarnya banyak kerja yang menanti guru.  Bila-bila masa sahaja, pengetua berhak memanggil guru untuk menjalankan tugas.  Selebihnya, guru akan menanda kertas peperiksaan dalam waktu cuti ni.  Pelbagai projek lagi cikgu nak siapkan di sekolah.  Semuanya dalam waktu cuti inilah nak disiapkan segala-galanya.  Orang luar memang mudah melabelkan cikgu itu dan ini tetapi cubalah berada dalam 'kasut' cikgu itu sendiri.  Apapun cubalah menjadi guru dahulu baharulah tahu dunia pendidikan hari ini sebenarnya penuh dengan cabaran dan karenah era pascamodenisasi.   Semoga tugas guru diberkati selalu, apapun alasannya guru tetap guru, berbakti untuk anak bangsa yang dahagakan ilmu.  
             

Sabtu, 21 Mei 2011

Seminar Teknologi Dalam Pendidikan 2011

Assalamualaikum...bertemu kembali setelah rasanya lama tak berkunjung ke ruangan ini dan menggerakkan jari-jemari menaip sedikit kisah dan cebisan coretan kehidupan.  Pada hari ini, telah kuhadiri seminar teknologi dalam pendidikan untuk subjek Bahasa Melayu Sekolah Menengah peringkat SPM.  Seminar ini dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Bentong dengan kerjasama Kolej Komuniti Bentong bersempena Hari Karnival Kolej berkenaan.  Alhamdulillah..dalam kesibukan itu, ramai orang yang kukenali ditemui terutamanya rakan-rakan lama.  Ada kisah-kisah yang boleh dikongsi bersama.  Rata-rata mereka berkata kepadaku..awak nampak kuruslah.  Hai itulah ayat yang biasa kudengar jika berjumpa teman-teman lama.  Kuberbisik kepada mereka...saya dietlah..hehehe..perbualan di akhiri dengan hilai tawa.  Habis kisah di situ.

Apa yang penting dalam seminar itu, banyak ilmu yang diperolehi terutamanya sesama sesi perbengkelan penandaan kertas satu dan kertas dua Bahasa Melayu SPM.  Penceramah yang diundang bukanlah calang-calang orang kerana pemeriksa kertas yang berpengalaman dan banyak ilmu yang dikongsikan untuk memantapkan lagi penguasaan ilmu kepada guru-guru yang hadir.  Syukur kerana ilmu dapat dijana dengan pelbagai soalan yang dikemukakan oleh rakan-rakan guru yang datangnya dari sekolah di sekitar daerah Bentong.



Penceramah bagi kertas satu adalah sahabat saya satu kumpulan pemeriksa kertas satu SPM iaitu Cikgu Din.  Cikgu Din asyik bertanya kepada saya semasa menanyakan untuk sesi penandaan karangan manakala penceramah bagi kertas dua pula adalah cikgu Rohilah yang memangnya terserlah dan terkenal seorang pemeriksa yang berpengalaman.  Saya kagum melihat guru-guru ini menyampaikan ceramah mereka dan saya juga terfikir bolehkah saya menjadi seperti mereka satu hari nanti.  Saya perlu menimba banyak lagi ilmu dan menjadikan itu sebagai nilai tambah pada diri saya.  Langkah pertama saya telah terserlah apabila saya dipelawa untuk menjadi penceramah kertas satu di sekolah saya sendiri untuk calon-calon SPM.  Inikah permulaan bagi kerjaya saya yang akan terus cemerlang? Mungkin ya..namun saya belum lagi memberikan tarikh bila sesi ceramah itu boleh diadakan.  Untuk menjadi guru cemerlang bukannya mudah.Banyak liku yang harus ditempuhi, banyak pengalaman perlu ditimba dan persediaan rapi perlu dilakukan.  Semua kejayaan itu bermula selangkah pada hari ini.  Semoga saya terus diberi kekuatan untuk menjadi lebih baik, cemerlang dan terbilang...insyaallah. 

Rabu, 18 Mei 2011

PROGRAM BIMBINGAN PMR 2011

Alhamdulillah...syukur kepada Allah S.W.T. kerana dengan izin dan rahmat-Nya, pada petang ini dapat dilaksanakan program bimbingan PMR di sekolahku.  Sememangnya program seumpama ini diadakan setiap tahun bagi memberikan pendedahan, bimbingan dan tunjuk ajar dengan lebih berkesan dan jitu kepada calon-calon PMR.  Segala usaha yang dijalankan oleh guru-guru amat baik untuk meningkatkan prestasi akademik dalam kalangan pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini.

Semoga para pelajar calon PMR di sekolahku pada tahun ini dapat membuat persediaan dengan lebih mantap agar dapat memperoleh keputusan yang cemerlang kelak.  Itulah harapan kami para guru.Sesungguhnya, kerjasama yang erat dan baik antara guru dan para pelajar  akan memudahkan proses pemahaman yang baik dalam penyampaian pengajaran oleh guru.  Semoga usaha para guru dan para pelajar dapat membuahkan kejayaan dalam pencapaian PMR pada tahun ini. Syabas buat rakan-rakan guruku...usahamu disanjung tinggi.

SELAMAT HARI GURU 2011

Assalamualaikum...
      Rasanya masih belum terlewat untuk mengucapkan selamat hari guru buat semua guru yang pernah mendidik kita bermula daripada menulis, membaca dan mengira.  Jasa baktimu guru tidak ternilai.  Pengorbananmu tidak terbalas jika diberi segunung emas, intan atau berlian.  Dirimu ibarat lilin yang sanggup menerangi kegelapan malam yang suram.  Engkaulah yang menggilapkan batu daripada pudar kepada kilauan permata.  Semoga usaha baktimu para guru akan mendapat keberkatan, kesejahteraan, kemuliaan, dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.  Guru penjana transformasi pendidikan negara...Selamat hari guru!.     

Sabtu, 14 Mei 2011

Permata Semua

Pernahkah kita mendengar ungkapan.."anak-anak diibaratkan seperti kain putih, maka ibu bapanyalah yang mencorakkannya sama ada untuk menjadi Majusi, Nasrani atau Yahudi".  Itulah kata-kata yang saya petik daripada seorang kaunselor cemerlang yang diundang khas untuk menyampaikan ceramah dalam program keibubapaan SMKB.  Hal ini menunjukkan bahawa ibu bapa punyai peranan yang sangat besar untuk mendidik dan mencorakkan masa depan anak-anak mereka.  Atas dasar itulah maka SMKB mengadakan program seumpama ini untuk menarik kesedaran dan ingatan kepada ibu bapa dan anak-anak pelajar.

Alhamdulilllah...syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana pada hari ini telah sempurna program keibubapaan anjuran unit HEM, SMKB.  Ramai ibu bapa yang dapat meluangkan masa untuk datang menjayakan program ini.   Apa yang lebih penting lagi adalah untuk memberi kerjasama kepada pihak sekolah dan mengetahui perkembangan akademik dan sahsiah anak-anak mereka di sekolah. 

Sesi ceramah keibubapaan disampaikan oleh seorang kaunselor cemerlang bertaraf DG48, iaitu setaraf pengetua.  Seronok dan rasa tidak jemu dengan info-info, cerita-cerita dan slaid yang dipaparkan oleh kaunselor tersebut.  Sememangnya banyak ilmu yang disampaikan amat berguna buat panduan ibu bapa, guru-guru dan anak-anak pelajar.  Semoga ilmu itu dapat diamalkan untuk menuju kecemerlangan di dunia dan di akhirat.  Insyaallah.

Akhir sekali, selepas jamuan diadakan sesi konsultasi ibu bapa dengan guru-guru kelas anak-anak mereka.  Aku berasa sungguh seronok kerana dapat berkenal-kenalan dengan ibu bapa para pelajar yang datang dan menginginkan perkembangan dan perihal anak-anak mereka dalam pelajaran dan sewaktu di dalam kelas. Bukan mudah untuk berdepan dengan pelbagai kerenah ibu bapa.  Ada ibu bapa yang tegas dan ada juga yang menyerahkan anak-anak mereka kepada guru-guru dengan perkataan buatlah apa sahaja cikgu..asalkan dia nak belajar. 

Sebenarnya,  kedua-dua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kecemerlangan anak-anak pelajar.  Kecemerlangan pelajar tidak hanya terpikul di bahu para guru.  Apa yang penting para guru telah melaksanakan tanggungjawab mereka di sekolah cuma tinggal lagi kesedaran para pelajar sendiri perlu ada agar berlaku perubahan kepada diri pelajar untuk berusaha mengatasi kelemahan dan kekurangan yang ada untuk memperoleh kejayaan dalam peperiksaan.  Hal ini bertepatan dengan jika tidak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Apa yang mengharukan, ada ibu bapa yang sedih melihat keputusan anak-anak mereka yang gagal.  Namun, masih ada masa, ruang dan peluang untuk diatasi asal sahaja ada kesedaran untuk berubah dan menjadi yang terbaik.   Bertepatan dengan slogan SMKB...Be the best, beat the rest..jadi yang terbaik, atasi yang lain.  
Ada juga ibu bapa yang kelihatan tenang dan bersungguh-sungguh untuk mengetahui hal anak-anak mereka ketika di dalam kelas.  Setelah mendengar ibu bapa sendiri menasihati anak-anak mereka dan meminta agar guru dapat membimbing dan memberikan tunjuk ajar yang sepatutnya kepada anak-anak mereka.  Sungguh rasa terharu untuk diriku kerana melihatkan gelagat ibu bapa yang bersungguh benar untuk melihat anak mereka berjaya.  Hal ini janganlah hendaknya bagai mencurahkan air ke daun keladi.
 
Oleh itu, untuk menyambung legasi kepimpinan negara pada masa akan datang, perubahan diri pelajar, para guru dan ibu bapa amat perlu agar dapat menjalankan tanggungjawab  dan kewajipan masing-masing.  Kesemuanya menuntut pengorbanan yang cukup besar ke arah merealisasikan impian pada masa depan menjelang tahun 2020. 


Ceramah keibubapaan oleh kaunselor jemputan 

Ibu bapa yang hadir

Sesi konsultasi

Para pelajar tingkatan 3 dan tingkatan 5

Rabu, 11 Mei 2011

Suluh Diri

Adat hidup guru terbilang
Sesama makhluk berkasih sayang
Rasa merasa sama berlapang
Taat setia sakit dan senang
Ketika sakit selalu bertandang
Ketika senang kenang mengenang
Ketika sempit sama berlapang
Ketika susah sama melenggang
Dalam pergaulan pandang memandang

Adil jangan memilih kasih
Benar jangan memilih kawan
Baik jangan mencari laba
Elok jangan mengambil muka
Sayang jangan mengharap upah
Budi jangan mengharap puji

Bila ke darat mencari ibarat
Bila ke laut mencari yang patut
Bila ke tengah tidak berhelah
Bila ke tepi mencari yang berbudi
Bila ke hulu mencari yang tahu
Bila ke hilir mencari yang mahir. 

Selasa, 10 Mei 2011

Pelajar Vs Peperiksaan = Guru

Hari ini 11 Mei 2011, bermula satu episod baharu dalam kehidupan para pelajarku kerana pada hari ini mereka sibuk berperang memerah pemikiran untuk menjawab soalan peperiksaan.  Peperiksaan pertengahan tahun bagi tahun ini telah bermula kepada para pelajarku tingkatan empat dan lima.  Diharapkan mereka dapat menjawab dengan tenang, dan dapat memberi jawapan yang terbaik mungkin.

Apabila kita berbicara tentang peperiksaan maka tidak dapat tidak kita perlu menerima hakikat bahawa peperiksaan adalah penting dalam hidup pelajar.  Hal ini kerana peperiksaan merupakan medan ujian dan penilaian kepada para pelajar setelah mereka penat dan bertungkus lumus menghadapi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.   Bukan itu sahaja malah jauh lebih penting adalah untuk mengukur prestasi,keupayaan, kebolehan dan kemampuan para pelajar menguasai sesuatu aspek atau topik dalam sesuatu mata pelajaran.  Keupayaan mereka menjawab dan memberikan jawapan yang baik membolehkan mereka melihat sejauh manakah prestasi atau kefahaman mereka terhadap pengajaran guru-guru mereka.

Sering kali orang berkata kejayaan seseorang pelajar bergantung kepada banyak faktor, antaranya guru yang berkaliber, galakan ibu bapa, pembelajaran di pusat-pusat tuisyen, perbincangan berkumpulan, dan hasil berdikari dan kegigihan para pelajar itu sendiri.  Memang tidak dapat dinafikan kesemua faktor ini menjadi penyumbang kepada kejayaan seseorang pelajar.  Namun, jauh lebih penting adalah usaha yang dimainkan oleh guru-guru yang tidak mengira penat dan lelah mengajar dan mendidik para pelajar dengan penuh rasa sabar.  Guru-guru sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk mengadakan kelas bimbingan, memberi bahan-bahan dan sebagainya.  Kontradiknya, hal ini hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh semua pihak.
    
Apabila seseorang pelajar gagal maka semua pihak menuding jari kepada guru dan soalan yang kerap kedengaran di sekolah ialah apa yang cikgu buat?, kenapa anak saya gagal?, kenapa cikgu tak mengajar?, kenapa cikgu selalu marah anak saya?,kenapa cikgu tak tanda buku anak saya?, dan bla...bla...bla...lagi.
Ironinya, apabila seseorang pelajar itu berjaya meraih kejayaan dengan cemerlang dalam peperiksaan, maka jasa guru sedikitpun tidak dikenang.  Malahan, ada segelintir ibu bapa atau pelajar itu sendiri dengan bangganya menyatakan bahawa kejayaannya itu adalah hasil usahanya sendiri dan berkat kegigihan belajar di pusat tuisyen.  Alangkah sedihnya guru-guru yang langsung tidak disebut dalam membantu, mengajar dan mendidik mereka di sekolah.   Tidak cukup dengan itu ada juga yang langsung tidak mengucapkan terima kasih dan bersalaman dengan guru-guru.  Persoalannya, di manakah jasa dan pengorbanan para guru selama ini kepada mereka?.  Inikah balasan para pelajar kepada guru-guru.  Renung-renungkanlah...Guru diibarat seperti tunggul tidak berguna.  Memang benarlah kata hikmah yang mengatakan bahawa guru ibarat lilin yang menerangi kegelapan orang lain sedangkan dirinya sendiri hancur binasa...Semoga jasa dan pengorbanan para guru dibalas di akhirat sana.
   


  

Guru tahu atau guru tauhu...

Alhamdulillah...syukur kepada Allah S.W.T.atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.  Apapun kita perlu menjadi manusia yang tahu bersyukur dan berterima kasih.  Entah kenapa hari ini rasa terpanggil untuk menulis tentang kaitan guru dan pengetahuan.  Guru dan pengetahuan memang sinonim dan tidak boleh dipisahkan ibarat irama dan lagu tak dapat dipisahkan.  Jika dipisahkan maka rosaklah irama dan punahlah lagu.  Begitulah juga halnya dengan guru dan pengetahuan.  Guru yang berkesan perlu mempunyai pengetahuan yang kukuh agar dapat melaksanakan tugasnya dengan berkesan. 

Guru yang cekap atau pakar dalam sesuatu bidang mata pelajaran perlu mempunyai pengetahuan yang kukuh dan luas dalam kurikulum.  Terasa diri ini belum layak lagi untuk mendapatkan 'title' guru pakar atau guru cemerlang.  Hal ini kerana bukan mudah untuk menjadi 'up to date' dalam pelbagai segi pengurusan kurikulum jika pengetahuan baru setahun jagung.  Segala segi diambil kira dan dinilai. 

Pengetahuan pula dapat dikelaskan kepada lima jenis iaitu pengetahuan filosofikal, pengetahuan isi kandungan mata pelajaran, pengetahuan teoritikal, pengetahuan profesional dan pengetahuan pedagogikal.  Guru perlu menghayati tentang pengetahuan falsafah pendidikan.  Falsafah pendidikan bertujuan membentuk pelajar yang cemerlang dari segi pembinaan peribadi atau sahsiah dan membentuk mereka menjadi patriotik.

Pengetahuan teoritikal adalah berkaitan kecekapan guru terhadap pengetahuan teori dan memahami isu dan masalah pembelajaran.  Pengetahuan isi kandungan adalah meliputi pengetahuan guru dalam menguasai isi pelajaran dalam menyampaikannya dengan berkesan.  Pengetahuan profesional merujuk pengetahuan kepakaran mengenai kurikulum, pengajaran dan pembelajaran dan pengetahuan pedagogikal pula adalah pengetahuan tentang pengajaran atau ilmu pengajar meliputi teori, asas-asas pengajaran, pengurusan bilik darjah, ilmu psikologi dan sosiologi, kaedah pengajaran dan sebagainya.

Pendek kata, untuk menjadi guru yang berkesan dan berpengetahuan, maka semua guru perlu menguasai atau masteri dalam pelbagai ilmu pengetahuan yang terkini...meliputi era pascamodenisasi ini.  Hal ini kerana ketidakekapan guru menguasai ilmu terkini akan menjadikan guru banyak ketinggalan daripada para pelajar.  Oleh itu, jadi guru yang serba tahu dan bukannya menjadi guru yang hanya suka makan tauhu.

Bukan senang nak jadi senang , bukan susah nak jadi susah.    
       

Mulanya di sini....

Mulanya di sini
Tiada berpaling lagi
Kita berteman
seiring jalan dan sehaluan
Sama-sama gunung didaki
Sama-sama turun ke lembah sepi
Suka duka bersama dirasai..
Sama-sama mengejar mimpi 
Sama-sama mencari dan mendaki
Suka duka bersama dilalui....

Khamis, 5 Mei 2011

Sajak Guru Oh Guru

Arus globalisasi sentiasa menerobos jati diri sesuatu bangsa.  Oleh itu, peranan guru amat menuntut pengorbanan dan komitmen padu dalam menyeimbangkan minda bangsa.  Guru sebagai pembenteng utama negara dan memikul amanah serta tanggungjawab dalam melahirkan insan kamil yang seimbang dari segi sahsiah, jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama mulia,
Jika hari ini seorang peguam yang menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini seorang siapa saja menjadi dewasa, 
Sejarahnya dimulakan oleh guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
(Petikan sajak ' Guru O Guru' oleh Datuk Usman Awang.)  

Apa Dah Jadi...

           Semasa berjalan menelusuri lorong papan kenyataan, terpandang aku satu poster tertulis JANGAN BERKOMPROMI DENGAN BULI.  Aku terfikir sesuatu dan rasa terpanggil untuk meluahkan sedikit rasa yang tersirat dalam hati.  Errrmmm...buli sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan pelajar.  Karenah pelajar tidak lekang dengan masalah itu dan ini.  Hal ini kerana mereka adalah insan yang sedang meningkat remaja dan perasaan ingin mencuba dan ingin tahu sangat mendalam.  Apapun alasannya, buli memang wujud di sekolah tidak kira secara fizikal atau mental. Macam-macam hal terjadi..apa dah jadi?. Jika tidak masakan hingga ada kes pelajar yang meninggal disebabkan menjadi mangsa buli.  Keganasan yang diamalkan oleh segelintir pelajar tidak seharusnya dibiarkan.  Bukan sahaja terpikul di bahu para guru sahaja malah semua pihak harus melaksanakan tanggungjawab masing-masing.  Janganlah kita menjadi seperti lagu "Bangau Oh Bangau" atau bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.
          Sesungguhnya, para guru perlulah berhikmah dalam menyelesaikan masalah para pelajar.  Hal ini menjadikan cabaran yang besar buat guru-guru.  Demi menyahut cabaran untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berpersonaliti mulia dan bersahsiah unggul. 
Sedikit renungan untuk dihayati iaitu
"Orang yang hendak mengajar jadi baik mestilah orang yang terbaik"- Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Arshad.