Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Jumaat, 12 Ogos 2011

SALAM RAMADAN

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.....
        Salam Ramadan dihulurkan kepada semua sempena kegirangan dan kegembiraan kita menantikan bulan yang penuh dengan kemuliaan, keberkatan dan kerahmatan.  Setiap insan yang mendambakan kasih sayang dan kerahmatan dari Allah S.W.T., senantiasa merindui kedatangan Ramadan al-mubarak.  Ramadan adalah bulan yang berbeza dari bulan-bulan lainnya kerana banyak ganjaran dan pahala digandakan oleh Allah kepada hambaNya.  Betapa sayangnya Allah kepada kita.  Ya Allah,sempena bulan RamadanMu ini, kurniakanlah kepadaku kekuatan, keampunan, ketenangan, dan kesejahteraan dalam aku meniti hari-hari dalam bulan Ramadan.  Alhamdullillah bersyukur kerana aku masih dapat bertemu dengan Ramadan dan harapanku juga dapat bertemu dengan malam yang penuh keberkatan iaitu Lailatul Qadar.  
       Kerinduanku hanya pada Ramadan kerana mengingatkan daku pada kisah setahun lalu.  Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu...Engkau telah memberikan kepadaku seorang insan mulia yang sangat aku dambakan.  Pertemuan yang Engkau izinkan memberikan kepadaku kekuatan dan limpahan kesyukuran.  Kedatangan dirinya dalam diriku tanpa diduga dan aku sangkakan.  Kehadirannya memberikan sinar baharu dalam diriku...keikhlasannya, belaian kasih sayangnya, dan keprihatinannya membuatkan aku begitu menyayanginya.  Jika ditanya mengapa semua ini terjadi, aku sendiri tiada jawapannya.  Semuanya adalah dari keizinanNya jua.  Namun, dalam menelusuri kehidupan ini, segala dugaan harus ditempuhi.  Kasih sayangku kepadanya tidak pernah berubah.  Tidak sesekali aku menilai dari segi rupa paras, keturunan, kekayaan atau kebijaksanaan.  Bagiku Allah S.W.T telah menghadirkannya untuk diriku.  Aku menerimanya dengan keredaan dan inilah kenangan bulan Ramadan.  Terima kasih Allah..terima kasih Allah.                

Rabu, 13 Julai 2011

Menggapai Pelangi

       Di rembang ini
       aku masih diulit sepi mengenang jauh
       perjalanan hidup ini.
       Entah ke mana hala tuju
       entah di mana perhentian
       yang menjadi persinggahan nasib diri.

       Di kejauhan ini,
       Belum terlihatpun kelibat pantai atau menara
       yang boleh menjadi persinggahan
       Aku termenung kesepian keseorangan

       Aku sendiri tidak mengerti
       Bagaimana hidup ini harus
       diperjudi pada nasib diri
       agar menjadi lebih bererti

       Ya...rabb
        Ampuni diriku, terangilah hidupku
        Berilah aku ketenangan
        yang hakiki dan abadi
        agar dapat menjadi hamba-Mu
        yang lebih bererti.
     
       Nukilan sejati,
       Ilasofia- 14 Julai 2011. 

Selasa, 14 Jun 2011

jumpa kembali

Alhamdulillah...terasa lamanya tidak membuka blog ini..terasa rindu untuk menarikan jari-jari ini mencorekkan apa-apa saja kisah kehidupan manusia.  Banyak kisah yang memenuhi ruang fikiran untuk difikirkan serta diambil pengajaran dan teladan dalam kehidupan ini sepanjang cuti persekolahan. Kepenatan tidak terkira menanda kertas peperiksaan.  Penat otak dan badan menumpukan seluruh tenang menanda kertas peperiksaan.  Seperti biasa ada yang berjaya dan ada yang kecundang di tengah jalan.  Apapun, aku perlu lebih memberi sesuatu sentuhan kepada pelajar-pelajarku agar mereka lebih sedar untuk memikirkan masa depan mereka.  Aku sendiri perlu lebih berhikmah memberi tunjuk ajar agar mereka dapat sesuatu untuk terus menimba ilmu.
       Banyak peristiwa yang berlaku menjadikan aku lebih tabah dan sering mengingati betapa besarnya keagungan Tuhan.  Ya..Allah berilah aku kekuatan dan ketabahan menempuhi liku-liku hidup ini.

Selasa, 24 Mei 2011

Peperiksaan Vs Menanda

Assalamualaikum..dan salam harmonis,
          Awal bismillah pembuka bicara..hari ini rasa teringin saya menyentuh tentang topik peperiksaan.  Maklumlah minggu akhir sebelum cuti ini adalah minggu demam peperiksaan.  Apabila berbicara tentang peperiksaan rasa pening kepala melihat gelagat para pelajar hari ini yang lebih mementingkan tidur daripada menjawab soalan.  Rata-rata kelas manapun, baharu sahaja menjawab dah nak tidur.  Ada segelintir pelajar pula, membaca soalan pertama je dah menguap...masyaallah.  Apa dah jadi?.  Para pelajar kini tidak menghiraukan sangat tentang kepentingan peperiksaan.  Bagi mereka lulus atau gagal sama sahaja.  Tidak ada rasa malu kepada mereka apabila mendapat keputusan yang rendah atau gagal.  Lulus atau gagal mereka tetap boleh naik kelas dan meneruskan pembelajaran.  Hal ini berbeza dengan para pelajar dahulu, memang takut sekiranya gagal kerana malu.  Yang paling takut, untuk ditunjukkan kepada ibu bapa.  Memang akan kena marah kalau gagal.  Berbeza dengan pelajar hari ini yang terlalu dimanjakan oleh ibu bapa.  Di manakah silapnya? Tepuk dada tanya selera.
          Selepas peperiksaan,  para pelajar akan bercuti.  Begitu juga cikgu-cikgu juga akan bercuti.  Ramai tanggapan orang bahawa kerja cikgulah yang mudah kerana banyak cuti. Pelajar cuti, cikgu cuti. Ya, memang betul apabila pelajar cuti, guru turut bercuti.  Satu perkara yang ramai orang tak tahu bahawa apabila guru bercuti sebenarnya banyak kerja yang menanti guru.  Bila-bila masa sahaja, pengetua berhak memanggil guru untuk menjalankan tugas.  Selebihnya, guru akan menanda kertas peperiksaan dalam waktu cuti ni.  Pelbagai projek lagi cikgu nak siapkan di sekolah.  Semuanya dalam waktu cuti inilah nak disiapkan segala-galanya.  Orang luar memang mudah melabelkan cikgu itu dan ini tetapi cubalah berada dalam 'kasut' cikgu itu sendiri.  Apapun cubalah menjadi guru dahulu baharulah tahu dunia pendidikan hari ini sebenarnya penuh dengan cabaran dan karenah era pascamodenisasi.   Semoga tugas guru diberkati selalu, apapun alasannya guru tetap guru, berbakti untuk anak bangsa yang dahagakan ilmu.  
             

Sabtu, 21 Mei 2011

Seminar Teknologi Dalam Pendidikan 2011

Assalamualaikum...bertemu kembali setelah rasanya lama tak berkunjung ke ruangan ini dan menggerakkan jari-jemari menaip sedikit kisah dan cebisan coretan kehidupan.  Pada hari ini, telah kuhadiri seminar teknologi dalam pendidikan untuk subjek Bahasa Melayu Sekolah Menengah peringkat SPM.  Seminar ini dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Bentong dengan kerjasama Kolej Komuniti Bentong bersempena Hari Karnival Kolej berkenaan.  Alhamdulillah..dalam kesibukan itu, ramai orang yang kukenali ditemui terutamanya rakan-rakan lama.  Ada kisah-kisah yang boleh dikongsi bersama.  Rata-rata mereka berkata kepadaku..awak nampak kuruslah.  Hai itulah ayat yang biasa kudengar jika berjumpa teman-teman lama.  Kuberbisik kepada mereka...saya dietlah..hehehe..perbualan di akhiri dengan hilai tawa.  Habis kisah di situ.

Apa yang penting dalam seminar itu, banyak ilmu yang diperolehi terutamanya sesama sesi perbengkelan penandaan kertas satu dan kertas dua Bahasa Melayu SPM.  Penceramah yang diundang bukanlah calang-calang orang kerana pemeriksa kertas yang berpengalaman dan banyak ilmu yang dikongsikan untuk memantapkan lagi penguasaan ilmu kepada guru-guru yang hadir.  Syukur kerana ilmu dapat dijana dengan pelbagai soalan yang dikemukakan oleh rakan-rakan guru yang datangnya dari sekolah di sekitar daerah Bentong.



Penceramah bagi kertas satu adalah sahabat saya satu kumpulan pemeriksa kertas satu SPM iaitu Cikgu Din.  Cikgu Din asyik bertanya kepada saya semasa menanyakan untuk sesi penandaan karangan manakala penceramah bagi kertas dua pula adalah cikgu Rohilah yang memangnya terserlah dan terkenal seorang pemeriksa yang berpengalaman.  Saya kagum melihat guru-guru ini menyampaikan ceramah mereka dan saya juga terfikir bolehkah saya menjadi seperti mereka satu hari nanti.  Saya perlu menimba banyak lagi ilmu dan menjadikan itu sebagai nilai tambah pada diri saya.  Langkah pertama saya telah terserlah apabila saya dipelawa untuk menjadi penceramah kertas satu di sekolah saya sendiri untuk calon-calon SPM.  Inikah permulaan bagi kerjaya saya yang akan terus cemerlang? Mungkin ya..namun saya belum lagi memberikan tarikh bila sesi ceramah itu boleh diadakan.  Untuk menjadi guru cemerlang bukannya mudah.Banyak liku yang harus ditempuhi, banyak pengalaman perlu ditimba dan persediaan rapi perlu dilakukan.  Semua kejayaan itu bermula selangkah pada hari ini.  Semoga saya terus diberi kekuatan untuk menjadi lebih baik, cemerlang dan terbilang...insyaallah. 

Rabu, 18 Mei 2011

PROGRAM BIMBINGAN PMR 2011

Alhamdulillah...syukur kepada Allah S.W.T. kerana dengan izin dan rahmat-Nya, pada petang ini dapat dilaksanakan program bimbingan PMR di sekolahku.  Sememangnya program seumpama ini diadakan setiap tahun bagi memberikan pendedahan, bimbingan dan tunjuk ajar dengan lebih berkesan dan jitu kepada calon-calon PMR.  Segala usaha yang dijalankan oleh guru-guru amat baik untuk meningkatkan prestasi akademik dalam kalangan pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini.

Semoga para pelajar calon PMR di sekolahku pada tahun ini dapat membuat persediaan dengan lebih mantap agar dapat memperoleh keputusan yang cemerlang kelak.  Itulah harapan kami para guru.Sesungguhnya, kerjasama yang erat dan baik antara guru dan para pelajar  akan memudahkan proses pemahaman yang baik dalam penyampaian pengajaran oleh guru.  Semoga usaha para guru dan para pelajar dapat membuahkan kejayaan dalam pencapaian PMR pada tahun ini. Syabas buat rakan-rakan guruku...usahamu disanjung tinggi.

SELAMAT HARI GURU 2011

Assalamualaikum...
      Rasanya masih belum terlewat untuk mengucapkan selamat hari guru buat semua guru yang pernah mendidik kita bermula daripada menulis, membaca dan mengira.  Jasa baktimu guru tidak ternilai.  Pengorbananmu tidak terbalas jika diberi segunung emas, intan atau berlian.  Dirimu ibarat lilin yang sanggup menerangi kegelapan malam yang suram.  Engkaulah yang menggilapkan batu daripada pudar kepada kilauan permata.  Semoga usaha baktimu para guru akan mendapat keberkatan, kesejahteraan, kemuliaan, dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.  Guru penjana transformasi pendidikan negara...Selamat hari guru!.