Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Ahad, 13 November 2011

Kadang kala........?


Segalanya telah berlaku. Segala yang berlaku biarlah berlalu. Berlalu dihembus angin malam yang menderu.  Biar ianya tidak kelihatan lagi dan menjadi sejarah yang tercatat dalam memori.  Tak perlu dikenang lagi kerana ianya akan bisa menyakiti dan melukakan hati.






Hidup perlu diteruskan jua kerana sebagai khalifah di muka bumi ini, masih punya banyak tugasan yang harus digalas,  dipikul dan dilaksanakan kerana perjuangan masih belum selesai.






Hati ini perlukan kekuatan.  Hati ini perlukan ketenangan.  Hati ini perlukan kesabaran.  Hati ini perlukan pengorbanan.  Hati ini perlukan bimbingan.  Hati ini perlukan kasih sayang.  Biarpun ia kosong tak terisi tetapi hidup perlu diteruskan.






Segala konflik dan kemelut yang menyelubungi diri, anggaplah sebagai ujian terbaik yang perlu ditempuhi untuk mematangkan diri dan membina peribadi agar dapat menjadi insan yang tabah dan cekal mengharungi segala kepayahan dan kerenyahan hidup.



Ya..Allah, terima kasih atas ujian ini.  Ujian ini medan untuk mematangkan diri dan menguatkan jiwa yang rapuh dalam meniti kehidupan ini.  Ujian ini juga dapat mendekatkan diri denganMu dan meneruskan kehidupan dengan penuh rasa syukur.  Terima kasih...ya rab.    


Satu pesanan dan ingatan buat diri, usahlah terlalu berharap kepada sesuatu yang belum pasti kelak hati akan kecewa sendiri kerana apa yang diharap belum tentunya menjadi.  Oleh itu, pasrah dan reda adalah kunci terbaik untuk membentuk kekuatan diri.






Hidup ini terlalu sukar untuk dimengertikan.  Hidup ini juga ada pahit manisnya.  Tidak selalunya kemanisan itu datang dan tidak semestinya yang pahit itu tidak terjangkau dan tidak ditelan.  Semua itu adalah asam garam dalam kehidupan ini yang perlu dirasai kenikmatannya.






Oleh itu, kemanisan yang datang jangan terus ditelan dan kepahitan jangan terus dibuang kerana yang manis itu belum tentu menjadi penawar dan yang pahit itu belum tentunya menjadi racun.  Setiap yang manis dan yang pahit itu saling melengkapi antara satu sama lain.






Samalah dengan pasang surutnya dilambung ombak badai.  


Kadang kala di atas, kadang kala di bawah
kadang kala disanjung, kadang kala ditindas,
kadang kala disayangi, kadang kala dibenci,
kadang kala diterima, kadang kala dibuang sahaja,
kadang kala diturut kata, kadang kala tidak diendahkan sahaja,
kadang kala diperlukan, kadang kala diketepikan,
kadang kala dirapati, kadang kala dijauhi,
kadang kala bermanfaat, kadang kala bersubahat, 
kadang kala disenangi, kadang kala disakiti,
kadang kala bahagia, kadang kala merana,
kadang kala tersenyum, kadang kala mencuka,
kadang kala bergembira, kadang kala berduka,   
kadang kala tertawa, kadang kala menangis,
kadang kala bermimpi, kadang kala berilusi,
kadang kala memberi, kadang kala rasa mengemis,
kadang kala terberi, kadang kala terperasan sendiri,
kadang kala menginsafi, kadang kala rasa tak sedar diri,
kadang kala malu, kadang kala lupa diri,
kadang kala terkenang, kadang kala terbuang,
kadang kala diingati, kadang kala dilupai,
kadang kala berbaik-baik, kadang kala menyerabutkan,
kadang kala mengubati, kadang kala mengecewakan,
kadang kala rasa dihargai, kadang kala rasa terhina,
kadang kala rasa memerlukan, kadang kala rasa menyesakkan,
kadang kala menyenangkan, kadang kala menyusahkan,
kadang kala rasa diperlukan, kadang kala rasa disisihkan.


Itulah hakikat yang perlu diterima diri sendiri.




Yang pasti jatuh dan bangun itu menjadi lumrah kehidupan
Pahit dan manis menjadi rencahnya
Suka dan duka menjadi rodanya
Gembira dan sedih menjadi bahannya
Rasa dihargai dan rasa tersisih menjadi ronanya
Namun, jangan ada rasa dendam dan rasa benci 






Andainya perpisahan tercipta, berubah hala serta memungkiri janji 
jangan ada rasa benci 
Kita harus tabah dan bersedia
menghadapi kemungkinan yang tiba
kadang kala yang berlaku di luar kemahuan kau dan aku.
biarlah kita matang dalam ruang lingkup kita sendiri.



         

Jumaat, 11 November 2011

Nukilan Hati Ini...


Hujan turun lagi
tatkala hati ini kesepian
namun masih ada insan yang sanggup
menjadi peneman

Hujan turun lagi
tatkala hati ini sering tertanya-tanya
apakah masih punya masa
untuk kembali mengutip sisa-sisa
nostalgia lama

Hujan turun lagi
tatkala hati ini dibuai resah
adakah masih ada ruang dan peluang
untukku mohon kemaafan
daripada insan tersayang

Hujan turun lagi
tatkala diri merenung jauh
dan memikirkan masa mendatang
cukupkah bekalan dalam meniti ruang 
keinsafan

Hujan turun lagi
tatkala hati sendiri kesunyian
tiada siapa yang dapat memahaminya
hanya mampu aku pasrah kepadaNya

Hujan turun lagi 
tatkala hati merintih kekesalan
kerana telah melukakan 
hati banyak pihak yang mengharapkan

Hujan turun lagi
tatkala hati sendiri merayu sendiri
bukan tidak mahu memberi
tetapi serasa seperti tidak diperlukan lagi
tiada makna lagi untuk segalanya

Hujan turun lagi 
tatkala hati berbicara
apakah dosa dan khilafku sehingga 
ada sahaja buruk sangka 
yang bersarang di hati mereka

Hujan turun lagi
tatkala hati terasa tersisih jauh
jauh entah ke mana
kerana aku sendiri tidak mengerti
apakah sebenarnya yang terjadi

Hujan turun lagi
tatkala hati bersoal 
apakah semuanya ini
ujian yang menimpa diri
kemelut dan konflik menghantui diri
dilema yang sering bersarang dan berongga di hati

Hujan turun lagi
tatkala hati berteka teki
apa yang aku harapkan sebenarnya
secebis kasih yang kabut dan kelam
entah entah dan entahlah

Hujan turun lagi
tatkala hati berkias sendiri
berbisik di ruang fikiran
tak perlulah aku menyusahkan dan menyusahkan 
dan menyusahkan dan menyusahkan
orang

Hujan turun lagi
tatkala hati diketuk kesedaran
biarlah mereka bahagia dengan cara mereka
dan aku bahagia dengan caraku juga
usahlah digoncang ruang ketenangan mereka
  
Hujan turun lagi
tatkala hati letih melayan karenah 
itu dan ini
biarlah masa sahaja yang bisa 
menentukan ke mana 
hala tujunya perjalanan

Hujan turun lagi
tatkala hati rela dikatakan apa sahaja
Ahh...mulut orang biarlah
asal sahaja aku sendiri tahu
apa yang aku lakukan

Hujan turun lagi
tatkala hati sendiri menangis
merintih merayu meminta mengharap
namun tidak semudah apa yang disangka
kerana hidup tak selalunya indah

Hujan turun lagi
tatkala hati berbisik lagi
tak perlulah hati kau mengharapkan sesiapa lagi
dirimu sendiri perlu berpijak di bumi yang nyata

Hujan turun lagi
tatkala hati bermonolog sendiri
apalah yang ada pada diri ini
mengharap untung tidak
jauh sekali mengira balasan
biarlah hanya Maha Kuasa yang menentukan

Hujan turun lagi
tatkala hati menangis sendiri
usahlah diharap kasih orang
kerana kasih orang tak kesampaian
kerana aku sendiri akan kecundang
haraplah pada kasih Illahi
kerana kasihNya kekal selama-lamanya

Hujan turun lagi
tatkala hati gelisah ini
biarlah yang berlalu berlalu pergi
tak perlu dikenang lagi
andai dikenang meranalah badan
merosakkan  fikiran  

Hujan turun lagi
tatkala hati dihimpit hiba
hanya tinggal kenangan
untuk dirasai sedikit kegembiraan
walau hati tetap terasa dan merasa dukanya

Hujan turun lagi
tatkala hatiku kesepian lagi
mungkin kali ini sepi dan sepi lagi
mungkin sepi buat selama-lamanya
hingga menutup mata
aku pasrah dan reda
aku menyerah dan mengharap kasihMu
ampunilah daku
aku adalah insan lemah selemah lemahnya
kasihanilah diriku
aku merayu padaMu
hanya padaMu aku pasrah segalanya
ya rab........

   

Khamis, 10 November 2011

Epilog Khayalan Semalam



Apa lagi yang lebih damai dan menyelesakan daripada memandang ke luar tingkap dengan bertempiasan air hujan jatuh ke bumi lalu merenjis tangkai hati?.  Aku masih termangu sambil memerhatikan air hujan yang terus menitik di luar jendela dengan pandangan yang kosong.   Sungguhlah, kadang kala kekesalan hinggap di hati ini.   Ah..apakah yang harus dikesalkan? entah aku sendiri tidak mengerti kerenah hati dalam menghadapi segalanya.   Kesal dengan ombak dan gelora dalam hati ini.


        Aku meruyupkan kelopak mata dan cuba menenangkan diri.  Jelas terpancar rasa ketenangan.  Wujud semacam satu rasa ketenangan yang nyata.   Teringat kembali pada kisah lama dulu.  Tika itu setahun jagung..untuk mengenali erti hidup yang sebenar.  Letih rasanya diri apabila mengenangkan nasib.  Teruji untuk menjaga hati semua pihak .  Kasih sayang yang terjalin antara kami walaupun baru seketika, banyak kesan yang tersimpan dalam lipatan ingatan.   


        Entah apa yang tak kena dalam hubungan ini juga menjadi tanda tanya dan persoalannya?  Aku pasrah dan reda atas segala kehendakNya.  Sesungguhnya kita sebagai makhlukNya hanya mampu merancang namun Allah S.W.T juga yang menentukan.  Sesungguhnya tersimpan seribu rahmat dan hikmah di sebaliknya. Walaupun aku cuba sehabis baik yang termampu namun andai itu yang menjadi suratannya tidak dapat tidak untuk menafikannya.  Andai kebahagiaan menjelma setelah perpisahan tercipta, sungguhlah itu pengorbanan yang perlu digadai dan harus menerima hakikatnya.   Aku rela melepaskannya walau hati ini berat untuk melakukannya andai itu yang dapat membahagiakannya.  Biarlah aku menjadi lilin membakar diri andai orang lain yang bisa mendapat cahaya dan kebahagiaannya.   Apa sahaja yang aku berikan tidak sesekali untuk aku pinta balasan.  Biarlah Allah S.W.T sahaja yang menilai keikhlasan hatiku ini.  Tidak ada niat lain diriku padanya. 

        Kadang kala pelbagai persoalan yang menerjah dalam kotak fikiranku ini.. namun aku menjadi letih untuk menjawab satu persatu persoalan itu.  Aku menjadi hilang punca dan arah tuju untuk mengatakan apa-apa.  Ya..Allah, berilah aku kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian dariMu ini.   Apa yang penting aku perlu berpijak di bumi yang nyata.  Tidak perlu aku terus dibuai leka deru angin malam yang sepoi-sepoi bahasa.  Tidak perlu aku terus dikatakan hidung tak mancung. pipi tersorong-sorong,  namun ketabahanku masih berbaki untukku teruskan kehidupan ini tanpa perlu menagih dan merintih kasih sesiapa. Sesungguhnya kasih sayang Allah S.W.T. adalah kekal buat selama-lamanya. Itulah yang harus kudambakan.  Segalanya yang telah tercipta perlu kuhadapi dan teruskan sahaja kerana segala yang berlaku adalah sejarah.  Sejarah yang mengajarku jangan mengulangi kesilapan.  Biarlah kesilapan lalu itu  dapat dijadikan pengajaran dan pengalaman dalam menghadapi dan meneruskan liku-liku dan onak berduri pada hari-hari mendatang, persis bumi mana yang tidak ditimpa hujan.   

         Kedewasaan ini menjadikan kulebih dewasa.  Entah apa yang membuatkan aku menjadi begini.  Sesungguhnya aku adalah insan kerdil yang banyak kelemahan dan kekurangan.  Mana mungkin aku mampu berdepan tanpa mengutip pengalaman lalu. Pengalaman adalah guru yang membuatkan aku menjadi dewasa untuk melalui hari-hari muka.  Terlalu letih untuk memikirkan apa yang telah terjadi dan apa yang akan terjadi.  Apa yang penting aku pasrah dan reda menerima apa sahaja yang datang dan pergi.  Ahhh...biarlah apa yang orang nak kata.  Aku tetap aku, aku tetap begini, aku tetap begitu dan aku adalah aku.  

         Ya..Allah..berikanlah aku kekuatan, kesabaran, ketenangan, ketinggian iman dalam menghadapi segala ujian dan dugaan dariMu.  Tanamkanlah rasa cinta hati ini yang mendalam terhadapMu..tunjukkanlah aku jalan yang lurus dan benar dalam mengharungi liku-liku hidup ini.  Amin..  


   


  

Rabu, 2 November 2011

Syukur kepada Maha Pencipta yang memberikan peluang dan keupayaan untuk kita meneruskan perjuangan..


Kenapa kita diuji?

Sebuah hadis Rasulullah S.A.W dari Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menjawab persoalan di atas yang maksudnya:

" Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan atasnya, Allah akan menimpakan musibah kepadanya."

Oleh itu, jika sesuatu musibah berlaku, elakkan berkata, " Jika aku buat begini, tentu jadi begini."
tetapi katakanlah, " Allah telah menentukan, apa yang Dia kehendaki, tentu akan berlaku."    

Setiap apa yang Allah timpakan atasmu itu adalah sesuatu yang telah Allah tetapkan.

"Tidak ada sesuatu kesusahan yang ditimpakan di bumi dan yang menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya."
(Surah al-Hadid :22)


  

Isnin, 31 Oktober 2011

Renungan diri

Bismillahirrahmanirrahim

      Bersyukur ke hadrat Illahi kerana kita masih diberi kesihatan, ruang dan peluang bernafas di muka bumi-Nya yang luas dan penuh dengan segala kenikmatan. 
  
     Pada alaf millenium ini,  kita sering menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran.  Bagaimanakah kuatnya kita menghadapi segalanya?  Hanya kepada Allah S.W.T yang harus kita serahkan segalanya.  Kita sebagai manusia sememangnya lemah dengan segala kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan sama ada sedar atau tidak, sengaja atau sebaliknya.  Namun, bersyukurlah kita dilahirkan sebagai seorang muslim, apa kesalahan yang kita lakukan sedarilah lantas memohon ampun kepada Allah S.W.T kerana pasti Allah S.W.T akan mengampunkan kita.  
Firman Allah S.W.T yang bermaksud : 
"Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-
Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat." (Surah al-Nasr:3)

Muslim yang terbaik adalah muslim yang mendahulukan akhlak, kerana Islam yang terpancar dari dalam dirinya adalah Islam yang berdasarkan akhlak yang mulia. 
Rasullullah S.A.W. bersabda :
" Sebaik-baik kalian ialah yang terbaik akhlaknya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).    

Khamis, 20 Oktober 2011

Khayalan,harapan atau impian. Ingatan buat diriku.

Assalamualaikum...
Alhamdulillah syukur dipanjatkan ke hadratNya, kerana masih memberi ruang dan peluang untuk bernafas di muka bumi ini yang begitu indah ciptaanNya.  Hari ini sedikit sahaja coretan yang ingin diluahkan.  Entah mengapa diri ini sering tertanya-tanya dan memikirkan nasib diri yang akan melayang dihujah angin malam.  Aku sering sendirian mengenangkan betapa luasnya nikmat yang Allah S.W.T telah kurniakan kepada kita makhlukNya.  Begitu juga halnya dengan jalan hidup kita yang boleh kita memilihnya.  Akal fikiran yang ada perlu digunakan untuk berfikir sewaras-warasnya bagi meneruskan kehidupan yang mendatang dengan lebih selesa, tenang dan penuh kesabaran.  

Dalam meniti arus perdana semasa, entah bila masanya diri ini sering mengenangkan ada untung dan ruginya atau ada pasang surutnya kematangan diri dalam meneruskan ekspresi kehidupan ini.  Dalam kehidupan macam-macam boleh berlaku tanpa kita duga dan sangka.  Pendek kata segala hal kadang kala dapat menyenangkan kita dan kadang kala ada yang memeningkan kepala.  Ada masanya kita di atas, ada masanya kita di bawah, ada masanya kita berpengikut, ada masanya kita ditindas.  Segala mungkin boleh terjadi.  Namun, satu perkara yang ingin aku pesan kepada diriku sendiri adalah bukan semua yang kita harapkan akan kita dapat seperti apa yang kita sangkakan....dan bukan juga apa yang kita rasa tidak baik untuk kita itu tidak kita perolehi akhirnya.  Kerana segala kemungkinan akan berlaku sama ada di depan mata atau di luar kotak penglihatan kita.  Hanya Allah S.W.T sahaja yang Maha Mengetahui dan kita perlu bertawakkal dan berdoa supaya Allah S.W.T dapat memberi yang terbaik buat kita.  Kepada Allah S.W.T. jua tempat kita mengadu dan berserah segalanya.  Hanya Dia yang lebih memahami...Biarlah segala yang berlaku menjadi pengajaran dan teladan terbaik serta menjadi guru yang dapat memberi kita seribu satu pelajaran berguna dan bermakna dalam menongkah alam kedewasaan ini.  Segala rencam hidup ini perlu ditelan kerana masa tidak bisa berputar kembali...ke belakang. 

Keredaan, kesyukuran, ketabahan, ketenangan perlu digalas di bahu sendiri dan belajar mengenal erti besar pengorbanan hakiki dalam meniti arus duniawi.  Semoga segala yang berlaku dapat dijadikan iktibar agar kita dapat mengenal siapa diri dan tidak pula kita diumpamakan seperti terlebih kuah daripada sudu atau hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.  Belajar mengenal diri, belajar mengenal hakikat makna diri, belajar mengenal insan-insan di sekeliling, belajar mengenal hakikat pengorbanan yang perlu ditagih untuk seulas rasa yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.  Semuanya terletak pada diriku.  Semoga aku menjadi insan tabah, berani melangkah gagah, tidak mengenal erti kalah, mencari hakikat kebenaran, hidup tidak kepura-puraan, mencari hakikat makna diri, berusaha mengenal ekspresi persekitaran, mengetahui kesilapan diri, mencari ketelusan insan sekeliling, belajar menimba pengalaman daripada guru masa, belajar, belajar, belajar, belajar, dan terus belajar.............................................................................

        

Jumaat, 9 September 2011

Syawal dan kenanganku......

Alhamdulillah....syukur ke hadrat Illahi. Dengan izin dan limpah kurniaNya, kita masih diberi kesempatan dan kesihatan yang sihat wal-afiat untuk meneruskan kehidupan di dunia yang fana ini.  Begitu pantas rasanya masa berlalu meninggalkan kita.  Duduk tak duduk, pejam celik pejam celik, dah habis bulan Ramadan dan kini tiba bulan Syawal.  Kedatangan Syawal adalah hari kemenangan setelah kita berjaya menahan nafsu, lapar dan dahaga.  Begitu nikmatnya kehadiran Syawal dengan pelbagai kemeriahan dari segi persiapan kuih-muih, pakaian hinggalah kelengkapan rumah.  Paling dinantikan adalah kepulangan ke kampung menikmati kemesraan bersama keluarga, sanak saudara, rakan taulan, dan sahabat handai.  Namun, bagiku sambutan Aidilfitri kali ini agak berbeza dari tahun sebelumnya.  Terasa rindu untuk bersalam dan mencium tangan ibu dan ayah, yang kini tiada lagi.  Rindu dan rasa teringat sungguh detik-detik bersama arwah ibu pada sambutan Aidilfitri tahun lepas di hospital.  Namun, tahun ini adalah tahun pertama aku menyambutnya tanpa ibu.  Kenangan sering datang melayang di lubuk fikiran.  Wajah ibu, senyum ibu dan pesan ibu sentiasa di fikiran.   Aidilfitri kali ini..terasa lain sungguh dan sangat berbeza kerana tiada orang tersayang di sisiku.
          Kesunyian sering menerjah di kamar hatiku.  Ingatanku pada arwah ibu tak pernah pudar..malah kenanganku bersamanya sering melayang datang dan pergi.  Betapa rindunya aku pada ibu..sering teringat saat-saat aku bersama ibu kerana sewaktu hayatnya aku sering mengambil berat dan menjenguknya pada hujung minggu.  Kami bersembang, bergelak ketawa, berkongsi cerita suka dan duka, makan bersama-sama dan ibu selalu memberi apa-apa sahaja barang yang dibelinya untukku.  Sungguh aku terharu betapa sayangnya ibu padaku.  Kini tiada lagi...aku sering mengingatkan kepada diriku bahawa ibu tiada lagi...ibu tiada lagi.  Allah S.W.T lebih menyayanginya.  Semua itu menjadi kenangan terindah aku bersama arwah ibu.  Samalah dengan Syawal kali ini...ibu sudah tiada.  Hanya barang-barang pemberian arwah ibu menjadi kenangan abadi buat diriku.  Tatkala aku teringatkan kenangan bersama arwah ibu, kelopak mataku digenangi air jernih yang meleleh membasahi pipiku.  Air itu meleleh secara semula jadi tanpa aku sedari.  Tidak dapat aku tahan kerana itulah tanda rinduku yang amat sangat pada arwah ibu. Ya..Allah, cucurilah rahmatMu ke atas roh ibu dan tempatkan ibu dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman.  Amin.