Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Selasa, 15 November 2011

Pahit manis sesi persekolahan ini.

Assalamualaikum...



     Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan izinNya, kita masih diberi ruang dan peluang dalam ruangan ini.



      Cuti persekolahan hampir bermula..cuma tinggal tiga hari sahaja lagi.  Seperti biasa, di sekolah, kedatangan para pelajar yang semakin berkurangan tidaklah menghairankan.  Ada di antara kelas cuma ada enam orang pelajar walaupun di sekolah minggu terakhir ini bukanlah minggu pengajaran dan pembelajaran lagi. 





     Di sekolah, diadakan karnival ko-kurikulum.  Karnival seumpama ini dirangka dengan pelbagai aktiviti yang dikira menarik untuk memperkenalkan kepada para pelajar sukan dan permainan yang hampir kepupusan.  Antaranya seperti permainan bola sepak, bola jaring, futsal, batu serimban, ting ting, galah panjang, dan lain-lain lagi.  
    

      Apapun, para pelajar seronok kerana inilah masa mereka menunjukkan bakat yang terpendam dan dapat dicungkil bakat-bakat baru yang boleh menjadi pelapis bagi mencari atlet sekolah. 
    




    Selain itu, tidak kurang juga dalam minggu-minggu terakhir ini kerap pula lawatan atau rombongan diadakan.  Wahh....bila bab berjalan bagilah kepada para pelajar ini.  Pantang lawatan ke mana sahaja.  Setiap lawatan mesti ada muka dia.  Antaranya lawatan ke kilang coklat di KL, rombongan ke Genting Highland, siap bermalam lagi, lawatan yang dianjurkan oleh PSS ke KL, aktiviti pelajar-pelajar asrama bagi kem motivasi dan "adventure" di Kuala Gandah bersama-sama Jabatan Perhilitan.  Pendek kata, minggu-minggu terakhir persekolahan begitu menyeronokkan.  Itu bagi sesiapa yang terlibat.  
   




    Bagi para pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pula, mereka mula peperiksaan pada minggu terakhir persekolahan iaitu pada 14hb.11.2011.  Ramai guru memberi sokongan.  Diharapkan para pelajar pada tahun ini dapat menjawab dengan baik dan tenang.  Semoga Allah S.W.T mempermudahkan mereka menjawab soalan peperiksaan.  Penuhi harapan ibu bapa dan guru-guru untuk melihat kejayaan dan kecemerlangan mereka.


 


     Bagi guru-guru pula, seperti biasa banyak tugas yang perlu diselesaikan sebelum tutup sekolah bagi penyerahan tugasan tahun semasa.  Banyak perkara yang perlu dibereskan dengan buku rekod mengajar, fail-fail bagi jawatan-jawatan berkenaan, pengurusan kelas, pemulangan buku teks, dan lain-lain lagi.  Pendek kata selagi belum tutup mata, kerja, kerja, kerja.  Walau apapun,  SMKB tetap di hati.



      Itulah tugas yang harus dipikul dan dilaksanakan.  Apapun, perjuangan masih belum selesai..walapun pada tahun ini semakin hampir berakhir.   Namun,  dalam kekalutan dan kerencaman itu terselit banyak kenangan dan pengalaman yang dapat dicatatkan bagi sesi persekolahan pada tahun ini.  Pahit manis dalam sesi persekolahan tahun ini diharapkan dapat menjadikan diri ini lebih matang dan berpengalaman menimba segalanya dalam mencari reda Illahi.        






Tiada ulasan:

Catat Ulasan