Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Jumaat, 9 September 2011

Syawal dan kenanganku......

Alhamdulillah....syukur ke hadrat Illahi. Dengan izin dan limpah kurniaNya, kita masih diberi kesempatan dan kesihatan yang sihat wal-afiat untuk meneruskan kehidupan di dunia yang fana ini.  Begitu pantas rasanya masa berlalu meninggalkan kita.  Duduk tak duduk, pejam celik pejam celik, dah habis bulan Ramadan dan kini tiba bulan Syawal.  Kedatangan Syawal adalah hari kemenangan setelah kita berjaya menahan nafsu, lapar dan dahaga.  Begitu nikmatnya kehadiran Syawal dengan pelbagai kemeriahan dari segi persiapan kuih-muih, pakaian hinggalah kelengkapan rumah.  Paling dinantikan adalah kepulangan ke kampung menikmati kemesraan bersama keluarga, sanak saudara, rakan taulan, dan sahabat handai.  Namun, bagiku sambutan Aidilfitri kali ini agak berbeza dari tahun sebelumnya.  Terasa rindu untuk bersalam dan mencium tangan ibu dan ayah, yang kini tiada lagi.  Rindu dan rasa teringat sungguh detik-detik bersama arwah ibu pada sambutan Aidilfitri tahun lepas di hospital.  Namun, tahun ini adalah tahun pertama aku menyambutnya tanpa ibu.  Kenangan sering datang melayang di lubuk fikiran.  Wajah ibu, senyum ibu dan pesan ibu sentiasa di fikiran.   Aidilfitri kali ini..terasa lain sungguh dan sangat berbeza kerana tiada orang tersayang di sisiku.
          Kesunyian sering menerjah di kamar hatiku.  Ingatanku pada arwah ibu tak pernah pudar..malah kenanganku bersamanya sering melayang datang dan pergi.  Betapa rindunya aku pada ibu..sering teringat saat-saat aku bersama ibu kerana sewaktu hayatnya aku sering mengambil berat dan menjenguknya pada hujung minggu.  Kami bersembang, bergelak ketawa, berkongsi cerita suka dan duka, makan bersama-sama dan ibu selalu memberi apa-apa sahaja barang yang dibelinya untukku.  Sungguh aku terharu betapa sayangnya ibu padaku.  Kini tiada lagi...aku sering mengingatkan kepada diriku bahawa ibu tiada lagi...ibu tiada lagi.  Allah S.W.T lebih menyayanginya.  Semua itu menjadi kenangan terindah aku bersama arwah ibu.  Samalah dengan Syawal kali ini...ibu sudah tiada.  Hanya barang-barang pemberian arwah ibu menjadi kenangan abadi buat diriku.  Tatkala aku teringatkan kenangan bersama arwah ibu, kelopak mataku digenangi air jernih yang meleleh membasahi pipiku.  Air itu meleleh secara semula jadi tanpa aku sedari.  Tidak dapat aku tahan kerana itulah tanda rinduku yang amat sangat pada arwah ibu. Ya..Allah, cucurilah rahmatMu ke atas roh ibu dan tempatkan ibu dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman.  Amin.