Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Jumaat, 11 November 2011

Nukilan Hati Ini...


Hujan turun lagi
tatkala hati ini kesepian
namun masih ada insan yang sanggup
menjadi peneman

Hujan turun lagi
tatkala hati ini sering tertanya-tanya
apakah masih punya masa
untuk kembali mengutip sisa-sisa
nostalgia lama

Hujan turun lagi
tatkala hati ini dibuai resah
adakah masih ada ruang dan peluang
untukku mohon kemaafan
daripada insan tersayang

Hujan turun lagi
tatkala diri merenung jauh
dan memikirkan masa mendatang
cukupkah bekalan dalam meniti ruang 
keinsafan

Hujan turun lagi
tatkala hati sendiri kesunyian
tiada siapa yang dapat memahaminya
hanya mampu aku pasrah kepadaNya

Hujan turun lagi 
tatkala hati merintih kekesalan
kerana telah melukakan 
hati banyak pihak yang mengharapkan

Hujan turun lagi
tatkala hati sendiri merayu sendiri
bukan tidak mahu memberi
tetapi serasa seperti tidak diperlukan lagi
tiada makna lagi untuk segalanya

Hujan turun lagi 
tatkala hati berbicara
apakah dosa dan khilafku sehingga 
ada sahaja buruk sangka 
yang bersarang di hati mereka

Hujan turun lagi
tatkala hati terasa tersisih jauh
jauh entah ke mana
kerana aku sendiri tidak mengerti
apakah sebenarnya yang terjadi

Hujan turun lagi
tatkala hati bersoal 
apakah semuanya ini
ujian yang menimpa diri
kemelut dan konflik menghantui diri
dilema yang sering bersarang dan berongga di hati

Hujan turun lagi
tatkala hati berteka teki
apa yang aku harapkan sebenarnya
secebis kasih yang kabut dan kelam
entah entah dan entahlah

Hujan turun lagi
tatkala hati berkias sendiri
berbisik di ruang fikiran
tak perlulah aku menyusahkan dan menyusahkan 
dan menyusahkan dan menyusahkan
orang

Hujan turun lagi
tatkala hati diketuk kesedaran
biarlah mereka bahagia dengan cara mereka
dan aku bahagia dengan caraku juga
usahlah digoncang ruang ketenangan mereka
  
Hujan turun lagi
tatkala hati letih melayan karenah 
itu dan ini
biarlah masa sahaja yang bisa 
menentukan ke mana 
hala tujunya perjalanan

Hujan turun lagi
tatkala hati rela dikatakan apa sahaja
Ahh...mulut orang biarlah
asal sahaja aku sendiri tahu
apa yang aku lakukan

Hujan turun lagi
tatkala hati sendiri menangis
merintih merayu meminta mengharap
namun tidak semudah apa yang disangka
kerana hidup tak selalunya indah

Hujan turun lagi
tatkala hati berbisik lagi
tak perlulah hati kau mengharapkan sesiapa lagi
dirimu sendiri perlu berpijak di bumi yang nyata

Hujan turun lagi
tatkala hati bermonolog sendiri
apalah yang ada pada diri ini
mengharap untung tidak
jauh sekali mengira balasan
biarlah hanya Maha Kuasa yang menentukan

Hujan turun lagi
tatkala hati menangis sendiri
usahlah diharap kasih orang
kerana kasih orang tak kesampaian
kerana aku sendiri akan kecundang
haraplah pada kasih Illahi
kerana kasihNya kekal selama-lamanya

Hujan turun lagi
tatkala hati gelisah ini
biarlah yang berlalu berlalu pergi
tak perlu dikenang lagi
andai dikenang meranalah badan
merosakkan  fikiran  

Hujan turun lagi
tatkala hati dihimpit hiba
hanya tinggal kenangan
untuk dirasai sedikit kegembiraan
walau hati tetap terasa dan merasa dukanya

Hujan turun lagi
tatkala hatiku kesepian lagi
mungkin kali ini sepi dan sepi lagi
mungkin sepi buat selama-lamanya
hingga menutup mata
aku pasrah dan reda
aku menyerah dan mengharap kasihMu
ampunilah daku
aku adalah insan lemah selemah lemahnya
kasihanilah diriku
aku merayu padaMu
hanya padaMu aku pasrah segalanya
ya rab........

   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan