Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Ahad, 13 November 2011

Kadang kala........?


Segalanya telah berlaku. Segala yang berlaku biarlah berlalu. Berlalu dihembus angin malam yang menderu.  Biar ianya tidak kelihatan lagi dan menjadi sejarah yang tercatat dalam memori.  Tak perlu dikenang lagi kerana ianya akan bisa menyakiti dan melukakan hati.






Hidup perlu diteruskan jua kerana sebagai khalifah di muka bumi ini, masih punya banyak tugasan yang harus digalas,  dipikul dan dilaksanakan kerana perjuangan masih belum selesai.






Hati ini perlukan kekuatan.  Hati ini perlukan ketenangan.  Hati ini perlukan kesabaran.  Hati ini perlukan pengorbanan.  Hati ini perlukan bimbingan.  Hati ini perlukan kasih sayang.  Biarpun ia kosong tak terisi tetapi hidup perlu diteruskan.






Segala konflik dan kemelut yang menyelubungi diri, anggaplah sebagai ujian terbaik yang perlu ditempuhi untuk mematangkan diri dan membina peribadi agar dapat menjadi insan yang tabah dan cekal mengharungi segala kepayahan dan kerenyahan hidup.



Ya..Allah, terima kasih atas ujian ini.  Ujian ini medan untuk mematangkan diri dan menguatkan jiwa yang rapuh dalam meniti kehidupan ini.  Ujian ini juga dapat mendekatkan diri denganMu dan meneruskan kehidupan dengan penuh rasa syukur.  Terima kasih...ya rab.    


Satu pesanan dan ingatan buat diri, usahlah terlalu berharap kepada sesuatu yang belum pasti kelak hati akan kecewa sendiri kerana apa yang diharap belum tentunya menjadi.  Oleh itu, pasrah dan reda adalah kunci terbaik untuk membentuk kekuatan diri.






Hidup ini terlalu sukar untuk dimengertikan.  Hidup ini juga ada pahit manisnya.  Tidak selalunya kemanisan itu datang dan tidak semestinya yang pahit itu tidak terjangkau dan tidak ditelan.  Semua itu adalah asam garam dalam kehidupan ini yang perlu dirasai kenikmatannya.






Oleh itu, kemanisan yang datang jangan terus ditelan dan kepahitan jangan terus dibuang kerana yang manis itu belum tentu menjadi penawar dan yang pahit itu belum tentunya menjadi racun.  Setiap yang manis dan yang pahit itu saling melengkapi antara satu sama lain.






Samalah dengan pasang surutnya dilambung ombak badai.  


Kadang kala di atas, kadang kala di bawah
kadang kala disanjung, kadang kala ditindas,
kadang kala disayangi, kadang kala dibenci,
kadang kala diterima, kadang kala dibuang sahaja,
kadang kala diturut kata, kadang kala tidak diendahkan sahaja,
kadang kala diperlukan, kadang kala diketepikan,
kadang kala dirapati, kadang kala dijauhi,
kadang kala bermanfaat, kadang kala bersubahat, 
kadang kala disenangi, kadang kala disakiti,
kadang kala bahagia, kadang kala merana,
kadang kala tersenyum, kadang kala mencuka,
kadang kala bergembira, kadang kala berduka,   
kadang kala tertawa, kadang kala menangis,
kadang kala bermimpi, kadang kala berilusi,
kadang kala memberi, kadang kala rasa mengemis,
kadang kala terberi, kadang kala terperasan sendiri,
kadang kala menginsafi, kadang kala rasa tak sedar diri,
kadang kala malu, kadang kala lupa diri,
kadang kala terkenang, kadang kala terbuang,
kadang kala diingati, kadang kala dilupai,
kadang kala berbaik-baik, kadang kala menyerabutkan,
kadang kala mengubati, kadang kala mengecewakan,
kadang kala rasa dihargai, kadang kala rasa terhina,
kadang kala rasa memerlukan, kadang kala rasa menyesakkan,
kadang kala menyenangkan, kadang kala menyusahkan,
kadang kala rasa diperlukan, kadang kala rasa disisihkan.


Itulah hakikat yang perlu diterima diri sendiri.




Yang pasti jatuh dan bangun itu menjadi lumrah kehidupan
Pahit dan manis menjadi rencahnya
Suka dan duka menjadi rodanya
Gembira dan sedih menjadi bahannya
Rasa dihargai dan rasa tersisih menjadi ronanya
Namun, jangan ada rasa dendam dan rasa benci 






Andainya perpisahan tercipta, berubah hala serta memungkiri janji 
jangan ada rasa benci 
Kita harus tabah dan bersedia
menghadapi kemungkinan yang tiba
kadang kala yang berlaku di luar kemahuan kau dan aku.
biarlah kita matang dalam ruang lingkup kita sendiri.



         

1 ulasan:

  1. insyaAllah,,jika Allah izinkan, perpisahan tidak akn brlaku,, berdoalah same2 padanya, agar Dia memudahkan sgl urusan kita ,,,semoga dirimu sentiasa di bawah lindunganNya,,salam ukhuwah fillah abadan abada,,

    BalasPadam