Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Sabtu, 20 Ogos 2011

Alhamdulillah bertemu kembali di ruang ini...
        Pertamanya, aku rasa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurniaNya maka dapat aku mencoretkan secebis kenangan yang ada.  Pertemuan yang tidak disangka-sangka lebih setahun dulu memberi aku sinar baharu dalam meniti arus kehidupan yang penuh dengan cabaran dalam era globalisasi ini.  Pertemuan ini adalah anugerah Allah yang tidak ternilai buatku.  Pertemuan dengan insan ini berlainan benar yang dapat aku rasakan.  Dia adalah insan mulia yang Allah telah anugerahkan kepadaku.  Aku sememang menginginkan kehadirannya di sisi.  Perwatakannya, kasih sayangnya, keramahannya, kemanjaannya, kelembutannya, keprihatinannya padaku membuatkan aku begitu menyayanginya.  Entah kenapa..aku sendiri tidak tahu kenapa dan mengapa aku terlalu dan begitu menyayanginya.  Aku teringin mendampingi insan sebegini, kerana dia punya segalanya.   Alhamdulillah syukur kerana Allah S.W.T. memberi peluang dan ruang untukku mendampinginya.  Semuanya dengan izin daripada Allah S.W.T jua.  
        Masa begitu pantas berlari persis kuda liar terlepas.  Kini Ramadan muncul kembali.  Ini bermakna hubunganku dengannya hampir setahun.  Segala kisahku banyak yang telah dia ketahui.  Kadang kala aku menjadi malu dengannya kerana tidak dapat menyembunyikan apa-apa daripadanya.  Ada sahaja yang dia dapat hidu dan tidak langsung aku dapat sorokkan daripadanya.  Sememangnya dia seorang yang bijak, matang, dan sangat memahami.  Aku rasa sangat bersyukur kerana mengenalinya..merapatinya dan menyayanginya. Walaupun, kadang kala kami berselisih faham..semua perkara itu terpaksa kutelan dan apa yang penting aku perlu menjaga hatinya.  Biarlah hatiku sendiri terluka kerana memikirkan untuk menjaga hati banyak pihak.  Itu sahaja pengorbanan yang dapat aku lakukan untuknya.   Tidak ada apa-apa yang dapat aku berikan kepadanya..tidak segunung intan, bukan sebukit emas berlian.  Aku sangat menghargai kasih sayangnya  dan aku berharap hubungan ini akan berpanjangan hingga akhir hayat.         Alhamdulillah syukur kepadaMu..Allah.  Berilah aku kekuatan,dan ketenangan dalam menharungi ujian dan dugaanMu ini.

Jumaat, 12 Ogos 2011

Kehilangan....tidak dapat dicari ganti.

Salam Ramadan al-mubarak...
      Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinanNya kita masih diberi kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan ibadah puasa dalam bulan yang penuh keberkatan, kemuliaan dan kerahmatan ini.  Kita hanyalah manusia yang diberikan oleh Allah S.W.T segala pinjaman.  Sepatutnya kita harus melipatgandakan amalan kepada Yang Maha Esa sebagai tanda kesyukuran, limpahan terima kasih dan kasih sayang hamba kepada Yang Maha Pencipta.
      Kini, memoriku jauh melayang mengenangkan bulan Ramadan dan kehadiran Syawal kali ini tanpa insan tersayang.  Pemergiannya bagaikan sekelip mata dalam hidupku.  Aku masih termangu-mangu.  Aku masih tertanya-tanya.  Aku masih dibuai mimpi semalam teringatkan tawa dan air mata bersama-samanya.  Ya Allah berilah aku kekuatan.  Hanya padaMu aku serahkan jiwa dan ragaku kerana hanya Engkau yang memahaminya.  Kehilangannya menjadi aku begitu menjerut rasa dan dibuai rasa yang penuh kerinduan.  Aku rindu belaian dan pelukannya.  Masih terkenang saatnya berbicara.  Masih terngiang-ngiang di kotak ingatan saat terakhir bersalaman dan menciumnya.  Namun, semuanya tidak dapat lagi aku rasakan.  Dia telah pergi buat selama-lamanya.  Hanya memori indah yang masih terlipat dalam ingatanku.  Aku insan lemah.  Hingga kini aku masih teringatkannya, termimpikannya, dan merinduinya.  Tidak sesekali lekang dalam memoriku.  Biar ke mana jauh sekalipun aku melangkah, sayangnya daku padanya hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.  Kerinduan itu datang dan pergi.  Tidak bisa aku meluahkannya.  Hanya padaMu Allah aku serahkan segalanya.   Biarpun apabila terkenang,  sesekali air jernih membasahi pipiku tanpa aku sedari.  Kedatangan Ramadan kali ini tanpanya.  Begitu terasa di hatiku.  Begitu juga kehadiran Syawal nanti, juga ketiadaannya.  Namun, dia ada dalam hatiku.  Dia masih ada dalam ingatanku.  Dia tetap bersama-samaku.  Kasih sayangnya padaku sukar dicari ganti.  Hanya ingatan, kenangan, dan barang-barang pemberiannya menjadi memori terindah buat diriku.  Dedikasiku hanya untuknya...insan mulia yang aku sayangi selama-lamanya.  Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh..Ya Allah hanya padaMu aku memohon pertolongan dan berilah aku kekuatan menempuh mehnahMu ini.  Aku bersyukur kepadaMu kerana masih memberiku ingatan buat insan yang kusayangi selama-lamanya.



SALAM RAMADAN

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.....
        Salam Ramadan dihulurkan kepada semua sempena kegirangan dan kegembiraan kita menantikan bulan yang penuh dengan kemuliaan, keberkatan dan kerahmatan.  Setiap insan yang mendambakan kasih sayang dan kerahmatan dari Allah S.W.T., senantiasa merindui kedatangan Ramadan al-mubarak.  Ramadan adalah bulan yang berbeza dari bulan-bulan lainnya kerana banyak ganjaran dan pahala digandakan oleh Allah kepada hambaNya.  Betapa sayangnya Allah kepada kita.  Ya Allah,sempena bulan RamadanMu ini, kurniakanlah kepadaku kekuatan, keampunan, ketenangan, dan kesejahteraan dalam aku meniti hari-hari dalam bulan Ramadan.  Alhamdullillah bersyukur kerana aku masih dapat bertemu dengan Ramadan dan harapanku juga dapat bertemu dengan malam yang penuh keberkatan iaitu Lailatul Qadar.  
       Kerinduanku hanya pada Ramadan kerana mengingatkan daku pada kisah setahun lalu.  Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu...Engkau telah memberikan kepadaku seorang insan mulia yang sangat aku dambakan.  Pertemuan yang Engkau izinkan memberikan kepadaku kekuatan dan limpahan kesyukuran.  Kedatangan dirinya dalam diriku tanpa diduga dan aku sangkakan.  Kehadirannya memberikan sinar baharu dalam diriku...keikhlasannya, belaian kasih sayangnya, dan keprihatinannya membuatkan aku begitu menyayanginya.  Jika ditanya mengapa semua ini terjadi, aku sendiri tiada jawapannya.  Semuanya adalah dari keizinanNya jua.  Namun, dalam menelusuri kehidupan ini, segala dugaan harus ditempuhi.  Kasih sayangku kepadanya tidak pernah berubah.  Tidak sesekali aku menilai dari segi rupa paras, keturunan, kekayaan atau kebijaksanaan.  Bagiku Allah S.W.T telah menghadirkannya untuk diriku.  Aku menerimanya dengan keredaan dan inilah kenangan bulan Ramadan.  Terima kasih Allah..terima kasih Allah.