Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Isnin, 31 Oktober 2011

Renungan diri

Bismillahirrahmanirrahim

      Bersyukur ke hadrat Illahi kerana kita masih diberi kesihatan, ruang dan peluang bernafas di muka bumi-Nya yang luas dan penuh dengan segala kenikmatan. 
  
     Pada alaf millenium ini,  kita sering menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran.  Bagaimanakah kuatnya kita menghadapi segalanya?  Hanya kepada Allah S.W.T yang harus kita serahkan segalanya.  Kita sebagai manusia sememangnya lemah dengan segala kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan sama ada sedar atau tidak, sengaja atau sebaliknya.  Namun, bersyukurlah kita dilahirkan sebagai seorang muslim, apa kesalahan yang kita lakukan sedarilah lantas memohon ampun kepada Allah S.W.T kerana pasti Allah S.W.T akan mengampunkan kita.  
Firman Allah S.W.T yang bermaksud : 
"Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-
Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat." (Surah al-Nasr:3)

Muslim yang terbaik adalah muslim yang mendahulukan akhlak, kerana Islam yang terpancar dari dalam dirinya adalah Islam yang berdasarkan akhlak yang mulia. 
Rasullullah S.A.W. bersabda :
" Sebaik-baik kalian ialah yang terbaik akhlaknya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).    

Khamis, 20 Oktober 2011

Khayalan,harapan atau impian. Ingatan buat diriku.

Assalamualaikum...
Alhamdulillah syukur dipanjatkan ke hadratNya, kerana masih memberi ruang dan peluang untuk bernafas di muka bumi ini yang begitu indah ciptaanNya.  Hari ini sedikit sahaja coretan yang ingin diluahkan.  Entah mengapa diri ini sering tertanya-tanya dan memikirkan nasib diri yang akan melayang dihujah angin malam.  Aku sering sendirian mengenangkan betapa luasnya nikmat yang Allah S.W.T telah kurniakan kepada kita makhlukNya.  Begitu juga halnya dengan jalan hidup kita yang boleh kita memilihnya.  Akal fikiran yang ada perlu digunakan untuk berfikir sewaras-warasnya bagi meneruskan kehidupan yang mendatang dengan lebih selesa, tenang dan penuh kesabaran.  

Dalam meniti arus perdana semasa, entah bila masanya diri ini sering mengenangkan ada untung dan ruginya atau ada pasang surutnya kematangan diri dalam meneruskan ekspresi kehidupan ini.  Dalam kehidupan macam-macam boleh berlaku tanpa kita duga dan sangka.  Pendek kata segala hal kadang kala dapat menyenangkan kita dan kadang kala ada yang memeningkan kepala.  Ada masanya kita di atas, ada masanya kita di bawah, ada masanya kita berpengikut, ada masanya kita ditindas.  Segala mungkin boleh terjadi.  Namun, satu perkara yang ingin aku pesan kepada diriku sendiri adalah bukan semua yang kita harapkan akan kita dapat seperti apa yang kita sangkakan....dan bukan juga apa yang kita rasa tidak baik untuk kita itu tidak kita perolehi akhirnya.  Kerana segala kemungkinan akan berlaku sama ada di depan mata atau di luar kotak penglihatan kita.  Hanya Allah S.W.T sahaja yang Maha Mengetahui dan kita perlu bertawakkal dan berdoa supaya Allah S.W.T dapat memberi yang terbaik buat kita.  Kepada Allah S.W.T. jua tempat kita mengadu dan berserah segalanya.  Hanya Dia yang lebih memahami...Biarlah segala yang berlaku menjadi pengajaran dan teladan terbaik serta menjadi guru yang dapat memberi kita seribu satu pelajaran berguna dan bermakna dalam menongkah alam kedewasaan ini.  Segala rencam hidup ini perlu ditelan kerana masa tidak bisa berputar kembali...ke belakang. 

Keredaan, kesyukuran, ketabahan, ketenangan perlu digalas di bahu sendiri dan belajar mengenal erti besar pengorbanan hakiki dalam meniti arus duniawi.  Semoga segala yang berlaku dapat dijadikan iktibar agar kita dapat mengenal siapa diri dan tidak pula kita diumpamakan seperti terlebih kuah daripada sudu atau hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.  Belajar mengenal diri, belajar mengenal hakikat makna diri, belajar mengenal insan-insan di sekeliling, belajar mengenal hakikat pengorbanan yang perlu ditagih untuk seulas rasa yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.  Semuanya terletak pada diriku.  Semoga aku menjadi insan tabah, berani melangkah gagah, tidak mengenal erti kalah, mencari hakikat kebenaran, hidup tidak kepura-puraan, mencari hakikat makna diri, berusaha mengenal ekspresi persekitaran, mengetahui kesilapan diri, mencari ketelusan insan sekeliling, belajar menimba pengalaman daripada guru masa, belajar, belajar, belajar, belajar, dan terus belajar.............................................................................