Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Selasa, 10 Mei 2011

Pelajar Vs Peperiksaan = Guru

Hari ini 11 Mei 2011, bermula satu episod baharu dalam kehidupan para pelajarku kerana pada hari ini mereka sibuk berperang memerah pemikiran untuk menjawab soalan peperiksaan.  Peperiksaan pertengahan tahun bagi tahun ini telah bermula kepada para pelajarku tingkatan empat dan lima.  Diharapkan mereka dapat menjawab dengan tenang, dan dapat memberi jawapan yang terbaik mungkin.

Apabila kita berbicara tentang peperiksaan maka tidak dapat tidak kita perlu menerima hakikat bahawa peperiksaan adalah penting dalam hidup pelajar.  Hal ini kerana peperiksaan merupakan medan ujian dan penilaian kepada para pelajar setelah mereka penat dan bertungkus lumus menghadapi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.   Bukan itu sahaja malah jauh lebih penting adalah untuk mengukur prestasi,keupayaan, kebolehan dan kemampuan para pelajar menguasai sesuatu aspek atau topik dalam sesuatu mata pelajaran.  Keupayaan mereka menjawab dan memberikan jawapan yang baik membolehkan mereka melihat sejauh manakah prestasi atau kefahaman mereka terhadap pengajaran guru-guru mereka.

Sering kali orang berkata kejayaan seseorang pelajar bergantung kepada banyak faktor, antaranya guru yang berkaliber, galakan ibu bapa, pembelajaran di pusat-pusat tuisyen, perbincangan berkumpulan, dan hasil berdikari dan kegigihan para pelajar itu sendiri.  Memang tidak dapat dinafikan kesemua faktor ini menjadi penyumbang kepada kejayaan seseorang pelajar.  Namun, jauh lebih penting adalah usaha yang dimainkan oleh guru-guru yang tidak mengira penat dan lelah mengajar dan mendidik para pelajar dengan penuh rasa sabar.  Guru-guru sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk mengadakan kelas bimbingan, memberi bahan-bahan dan sebagainya.  Kontradiknya, hal ini hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh semua pihak.
    
Apabila seseorang pelajar gagal maka semua pihak menuding jari kepada guru dan soalan yang kerap kedengaran di sekolah ialah apa yang cikgu buat?, kenapa anak saya gagal?, kenapa cikgu tak mengajar?, kenapa cikgu selalu marah anak saya?,kenapa cikgu tak tanda buku anak saya?, dan bla...bla...bla...lagi.
Ironinya, apabila seseorang pelajar itu berjaya meraih kejayaan dengan cemerlang dalam peperiksaan, maka jasa guru sedikitpun tidak dikenang.  Malahan, ada segelintir ibu bapa atau pelajar itu sendiri dengan bangganya menyatakan bahawa kejayaannya itu adalah hasil usahanya sendiri dan berkat kegigihan belajar di pusat tuisyen.  Alangkah sedihnya guru-guru yang langsung tidak disebut dalam membantu, mengajar dan mendidik mereka di sekolah.   Tidak cukup dengan itu ada juga yang langsung tidak mengucapkan terima kasih dan bersalaman dengan guru-guru.  Persoalannya, di manakah jasa dan pengorbanan para guru selama ini kepada mereka?.  Inikah balasan para pelajar kepada guru-guru.  Renung-renungkanlah...Guru diibarat seperti tunggul tidak berguna.  Memang benarlah kata hikmah yang mengatakan bahawa guru ibarat lilin yang menerangi kegelapan orang lain sedangkan dirinya sendiri hancur binasa...Semoga jasa dan pengorbanan para guru dibalas di akhirat sana.
   


  

1 ulasan:

  1. kesabaran yang tinggi adalah penting dalam proses mendidik...

    BalasPadam