Kalam Hikmah....

Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.

- Abu Bakar As-Siddiq







Sabtu, 14 Mei 2011

Permata Semua

Pernahkah kita mendengar ungkapan.."anak-anak diibaratkan seperti kain putih, maka ibu bapanyalah yang mencorakkannya sama ada untuk menjadi Majusi, Nasrani atau Yahudi".  Itulah kata-kata yang saya petik daripada seorang kaunselor cemerlang yang diundang khas untuk menyampaikan ceramah dalam program keibubapaan SMKB.  Hal ini menunjukkan bahawa ibu bapa punyai peranan yang sangat besar untuk mendidik dan mencorakkan masa depan anak-anak mereka.  Atas dasar itulah maka SMKB mengadakan program seumpama ini untuk menarik kesedaran dan ingatan kepada ibu bapa dan anak-anak pelajar.

Alhamdulilllah...syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana pada hari ini telah sempurna program keibubapaan anjuran unit HEM, SMKB.  Ramai ibu bapa yang dapat meluangkan masa untuk datang menjayakan program ini.   Apa yang lebih penting lagi adalah untuk memberi kerjasama kepada pihak sekolah dan mengetahui perkembangan akademik dan sahsiah anak-anak mereka di sekolah. 

Sesi ceramah keibubapaan disampaikan oleh seorang kaunselor cemerlang bertaraf DG48, iaitu setaraf pengetua.  Seronok dan rasa tidak jemu dengan info-info, cerita-cerita dan slaid yang dipaparkan oleh kaunselor tersebut.  Sememangnya banyak ilmu yang disampaikan amat berguna buat panduan ibu bapa, guru-guru dan anak-anak pelajar.  Semoga ilmu itu dapat diamalkan untuk menuju kecemerlangan di dunia dan di akhirat.  Insyaallah.

Akhir sekali, selepas jamuan diadakan sesi konsultasi ibu bapa dengan guru-guru kelas anak-anak mereka.  Aku berasa sungguh seronok kerana dapat berkenal-kenalan dengan ibu bapa para pelajar yang datang dan menginginkan perkembangan dan perihal anak-anak mereka dalam pelajaran dan sewaktu di dalam kelas. Bukan mudah untuk berdepan dengan pelbagai kerenah ibu bapa.  Ada ibu bapa yang tegas dan ada juga yang menyerahkan anak-anak mereka kepada guru-guru dengan perkataan buatlah apa sahaja cikgu..asalkan dia nak belajar. 

Sebenarnya,  kedua-dua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kecemerlangan anak-anak pelajar.  Kecemerlangan pelajar tidak hanya terpikul di bahu para guru.  Apa yang penting para guru telah melaksanakan tanggungjawab mereka di sekolah cuma tinggal lagi kesedaran para pelajar sendiri perlu ada agar berlaku perubahan kepada diri pelajar untuk berusaha mengatasi kelemahan dan kekurangan yang ada untuk memperoleh kejayaan dalam peperiksaan.  Hal ini bertepatan dengan jika tidak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Apa yang mengharukan, ada ibu bapa yang sedih melihat keputusan anak-anak mereka yang gagal.  Namun, masih ada masa, ruang dan peluang untuk diatasi asal sahaja ada kesedaran untuk berubah dan menjadi yang terbaik.   Bertepatan dengan slogan SMKB...Be the best, beat the rest..jadi yang terbaik, atasi yang lain.  
Ada juga ibu bapa yang kelihatan tenang dan bersungguh-sungguh untuk mengetahui hal anak-anak mereka ketika di dalam kelas.  Setelah mendengar ibu bapa sendiri menasihati anak-anak mereka dan meminta agar guru dapat membimbing dan memberikan tunjuk ajar yang sepatutnya kepada anak-anak mereka.  Sungguh rasa terharu untuk diriku kerana melihatkan gelagat ibu bapa yang bersungguh benar untuk melihat anak mereka berjaya.  Hal ini janganlah hendaknya bagai mencurahkan air ke daun keladi.
 
Oleh itu, untuk menyambung legasi kepimpinan negara pada masa akan datang, perubahan diri pelajar, para guru dan ibu bapa amat perlu agar dapat menjalankan tanggungjawab  dan kewajipan masing-masing.  Kesemuanya menuntut pengorbanan yang cukup besar ke arah merealisasikan impian pada masa depan menjelang tahun 2020. 


Ceramah keibubapaan oleh kaunselor jemputan 

Ibu bapa yang hadir

Sesi konsultasi

Para pelajar tingkatan 3 dan tingkatan 5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan